
PETALING JAYA – Calon Bebas kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Teratai yang juga bekas Ketua Pemuda Sosialis DAP
(Dapsy) Selangor, Jenice Lee menegaskan jawatankuasa eksekutif pusat
(CEC) parti itu tidak mempunyai kuasa untuk memecatnya.
Pada masa sama, Jenice turut mempersoalkan kesahihan pemecatannya.
Beliau berkata, selepas Pendaftar
Pertubuhan (ROS) tidak mengiktiraf CEC kerana didakwa wujud
penyelewengan ketika pemilihan parti itu pada Disember lalu, kedudukan
jawatankuasa disiplin turut dipertikaikan.
Jawatankuasa disiplin antara yang turut dilantik oleh CEC.
“Jika CEC tidak diiktiraf, maka jawatankuasa disiplin juga tidak sah,” katanya.
Lee dipecat daripada parti selepas
mengemukakan borang penamaan calon untuk mempertahankan kerusi DUN
Teratai di Selangor, Sabtu lalu.
Tindakan itu menyebabkan berlaku pertembungan lima penjuru di mana Lee turut akan bertemu seorang lagi calon DAP.
Lee turut menolak surat bertarikh 18
April daripada pengerusi jawatankuasa disiplin Tan Kok Wai yang
menggantung beliau daripada tugas selama enam bulan atas beberapa sebab.
“Jika anda lihat surat tersebut, ia dibuat tanpa kepala surat dan tandatangan.
“Tan suda berkata, tidak akan ada
tindakan sehingga selepas pilihan raya umum, jadi bagaimana dia boleh
mengeluarkan surat itu dengan tiba-tiba,” soalnya.
Lee berkata, beliau tidak menerima surat
tersebut secara peribadi dan mendakwa Tan mengedarkan surat itu kepada
pemberita pada pagi Selasa.
“Bagaimana dia boleh sesuka hati mengebelakangkan tarikh surat tersebut,” tegasnya.
Lee dan pembantunya, Lee Hsuan Ba
berdepan siasatan jawatan disiplin selepas dakwaan mereka
menyalahgunakan dana penduduk selepas membantu membina tembok penahan.
Surat tersebut yang diterima The Star
turut menjelaskan dua lagi aduan termasuk dakwaan melantik syarikat
Hsuan Ba untuk membekalkan barangan promosi menggunakan peruntukan
kerajaan negeri selain tuduhan berulang dan serangan ke atas
jawatankuasa disiplin.
Sementara itu, sekumpulan penyokong Lee
berkumpul di depan ibu pejabat DAP selama beberapa jam menuntut parti
menerima pencalonannya.
“Kami tidak mahu parti mengenakan semula
hukuman terhadapnya secara membuta tuli, kami hanya ingin penjelasan
mengapa calon boleh menang sepertinya tidak dibenarkan untuk
mempertahankan kerusi DUN Teratai,” kata seorang penyokong, Jess Lee.
Kebanyakan penyokong menyuarakan kemarahan mereka terhadap Tan.
Jess mendakwa Tan hanya ingin
mencalonkan individu yang rapat dengannya dan penyokong Lee percaya
wujud konspirasi untuk menyingkirkannya.
DAP menamakan bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Tiew Way Kheng sebagai calon di kerusi DUN Teratai. – mStar Online
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !