
KUALA LUMPUR – Pereka fesyen tersohor negara, Rizalman Ibrahim telah
memperkenalkan 23 rekaan eksklusifnya untuk dijual di Zalora yang
merupakan satu rangkaian membeli belah secara atas talian yang popular
di seluruh dunia.
Kerjasama di antara Rizalman dan Zalora
bertujuan membawa fesyen yang terbaik untuk semua pelanggan yang sering
melayari Zalora sekali gus memberi pilihan rekaan daripada pereka
terkemuka negara untuk semua wanita di Malaysia.
Menurut Rizalman, dia menggunakan
peluang berkolaborasi bersama Zalora untuk membawa jenama Ready To Wear
By Rizalman lebih dekat kepada penggemar-pengemar fesyen rekaannya.
“Tercetusnya idea ini selepas saya
terima komen-komen peminat daripada Facebook saya yang mengatakan
baju-baju rekaan saya, lawa-lawa lah, meleleh air liur lah, macam
kasihan kat mereka ini (yang selama ini menyokong kariernya).
“Selepas saya baca mesej-mesej serta
komen-komen mereka, kenapa tidak saya buat suatu kerja amal kepada
wanita di Malaysia iaitu dengan menjual koleksi saya pada harga yang
boleh dimiliki serta berpatutan untuk semua,” katanya kepada Mynewshub
ketika ditemui pada majlis perasmian produknya itu, hari ini.
Kali ini, pereka itu tampil bermain
dengan warna-warna selamat di antaranya hitam, coklat gelap, biru gelap
dan ungu gelap serta warna terang seperti merah dan kuning kemudian
diserikan dengan sedikit perincian labuci, corak geometri dan
bunga-bungaan yang menampakkan pelanggannya tampil elegan, sofistikated
dan sopan dipandang.
Kesemua 23 rekaan Rizalman yang
bertemakan ‘Glamour Goes Online’ itu akan dijual bermula hari ini dan
berharga dari RM350 sehingga RM460.
Bercakap mengenai sasaran pembeli pula,
Rizalman menjelaskan, “sasaran saya ialah wanita-wanita Malaysia yang
nak pakai rekaan Rizalman dan inilah peluang mereka untuk dapatkan
rekaan Rizalman pada harga yang mampu milik”.
Dalam sesuatu rekaan yang dihasilkan
Rizalman menegaskan dia amat menitik beratkan potongan yang terletak di
badan serta pemilihan kain yang menarik merupakan ciri-ciri yang penting
untuk melengkapkannya.
“Asalkan rekaan menarik dan bagus, itu
adalah kunci untuk jualan kita sebenarnya,” katanya yang gemar mereka
pakaian yang berorientasikan klasik dan retro.
“Saya seorang pereka yang mengamalkan
dan sukakan sesuatu benda yang klasik, ‘not too trendy’ dan yang boleh
dipakai berkali-kali pada masa akan datang,” jelasnya lagi.
Ketika ditanya tentang persaingan di
kalangan pereka fesyen muda yang semakin banyak menghiasi arena
tersebut, Rizalman menyatakan dia tidak sesekali berasa gentar akan
perkara itu.
“Saya ikhlas dalam melakukan
kerja-kerja, saya tak gentar (dengan persaingan) kerana saya merupakan
‘pioneer’ dalam bidang ini,” katanya.
Dalam perancangan projek di masa
hadapan, Rizalman menjelaskan dia mungkin bakal menyambung koleksi Ready
To Wear menerusi jualan atas talian jika mendapat sambutan yang
mengalakkan daripada semua pihak.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !