PUTRAJAYA – Kerajaan Barisan Nasional
(BN) sudah memberi tumpuan kepada belia sejak dahulu dengan menyediakan
pelbagai kemudahan serta bantuan untuk memajukan golongan itu.
Justeru kata Menteri Belia dan Sukan
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, hasrat Pas untuk menangguhkan Festival
Belia Putrajaya 2013 semata-mata untuk menyalurkan peruntukan bagi
pembangunan ekonomi belia tidak relevan.
Kalau mereka ikhlas hendak membantu
belia, Pas patut berbuat demikian di negeri yang mereka tadbir tapi
mereka tidak melakukannya, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Calon BN yang juga penyandang kerusi
Parlimen Kemaman itu mengulas kenyataan calon Pas bagi kerusi Parlimen
Putrajaya, Datuk Husam Musa yang pada satu sidang media hari ini
berkata, Pas akan menangguhkan festival itu dan memanfaatkan peruntukan
untuk memajukan belia jika mereka menang di Putrajaya.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata,
peruntukan untuk festival itu datang daripada semua pihak termasuk
kementerian lain dan kebanyakan kos membabitkan aktiviti belia
ditanggung swasta.
Sementara itu, calon BN yang juga
penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor berkata, kenyataan Husam jelas menunjukkan Pas tidak mesra belia.
“Dia cakap sebab dia tak tahu apa-apa,
jadi belia perlu menilai perkara itu dengan sebaiknya dan tolak calon
seperti itu,” katanya.
Sambutan Festival Belia Putrajaya 2013 dijadual berlangsung dari 23 hingga 26 Mei ini. – BERNAMA

0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !