PETALING JAYA – Pelakon baru Cha Cha
Maembong tidak hirau apabila nama kakaknya, Emma Maembong lebih popular
berbandingnya walaupun dia yang terlebih awal ‘terjun’ dalam dunia
lakonan.
Cha Cha atau nama sebenarnya Siti Aisyah
Ismail, 17, berkata, dia juga tidak cemburukan Emma malah gembira
dengan kejayaan kakaknya yang baru setahun dalam industri seni tempatan.
“Tak mungkin saya nak cemburukan dia
(Emma). Sebaliknya saya berbangga memiliki seorang kakak yang berjaya
dan popular atas usaha gigihnya sebagai pelakon.
“Lagipun dia kakak saya dan saya pun
masih muda, banyak benda yang masih perlu belajar dan perjalanan dalam
bidang ini juga masih jauh lagi. Dia juga membuatkan saya bersemangat
untuk meneruskan karier lakonan saya,” katanya.
Beritahu Cha Cha, dia mula menyertai
kerja-kerja seni seawal berusia lima tahun sebagai model untuk
iklan-iklan di televisyen, kemudian berhenti pada usia 12 tahun dan kini
kembali semula bergiat aktif di bidang lakonan sejak dua tahun lalu.
Sementara itu, Cha Cha turut bersyukur
masalah pelat yang dihadapinya bukanlah satu halangan untuk aktif dalam
kerja-kerja lakonan.
Malah pelakon kacukan Melayu dan
Scotland ini gembira apabila pihak produksi tidak menganggap ia satu
masalah tetapi dia sendiri sedang berusaha memperbaiki sebutannya agar
lebih jelas ketika berlakon.
“Mula-mula saya risau juga memikirkan
adakah pihak produksi terbuka dengan masalah pelat saya. Lebih-lebih
lagi saya sukar menyebut huruf ‘R’.
“Bagaimanapun saya cuba memperbaiki
kelemahan itu agar tidak memburukkan lakonan yang dibawakan,” seloroh
pelakon yang popular dengan drama Mimpi Cinderella dan Setia Hujung
Nyawa ini.
Dalam perkembangan lain, Cha Cha bakal
muncul menerusi drama terbaharu terbitan Wall’s Cornetto (Unilever
(Malaysia) Holdings Sdn. Bhd) iaitu Cornetto Uda & Dara.
Siri drama ini mengisahkan tiga pasangan
anak muda yang melalui perjalanan hidup penuh dugaan dan cabaran dalam
mencari identiti sehingga memperoleh kejayaan masing-masing.
“Seronok juga berlakon dalam drama ini.
Memandangkan saya masih baru dalam industri ini, banyak tunjuk ajar yang
diberikan oleh mentor-mentor saya seperti Yasmin Hani dan Tony Eusoff,”
tuturnya.
Selain Cha Cha Cornetto Uda & Dara
dibarisi pelakon iaitu Dafi, Alif Hadi, Jed, Radhi Khalid, Mustapha
Kamal, Namron, Yasmin Hani, Azhar Sulaiman, Shaq, Alam, dan Normah
Damanhuri.
Drama ini bakal disiarkan menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 1 Mei depan setiap Rabu, pukul 9 malam.
Siaran ulangannya pula ialah pada hari Sabtu, pukul 5 petang. – mStar Online
Iklan Teks: 
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !