SERDANG – Pada usia 70 tahun, Datuk Yap
Pian Hon merupakan calon tertua daripada MCA dan dianggap antara paling
tua yang dicalonkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum kali
ini.
Bagaimanapun bagi calon kerusi Parlimen
Serdang ini, usia bukan penghalang, sebaliknya semangat beliau
berkobar-kobar untuk berkhidmat kepada rakyat dan merampas semula
kawasan itu daripada pembangkang.
“Usia bukan faktor yang mengekang kita
selagi kita mahu dan bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat. Tengok
kawan kita (Pengerusi DAP Kebangsaan) Karpal Singh, beliau berkerusi
roda tetapi beliau dihormati dan ini menunjukkan demokrasi di negara
ini.
“Kita tidak boleh mengutuk beliau. Ada
orang kata saya tua, bagaimana pula dengan calon berusia 25 tahun
(merujuk kepada calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Keranji Danial
Wa Wai How, calon termuda MCA)?
“Adakah beliau cukup pengalaman? Kita
tidak boleh ambil kira faktor umur, selagi kita ada sikap yang betul dan
ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Ahli politik veteran itu berdepan pengarah strategi pilihan raya DAP Ong Kian Ming pada hari pengundian 5 Mei ini.
Yap yang mula bertanding di kawasan
Serdang pada 1969 berjaya mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya
seterusnya kecuali pada 1978.
Pada 1969 beliau bertanding di situ yang merupakan kerusi DUN, atas tiket DAP namun beralih kepada BN pada 1974.
Pada 1978 beliau kalah kepada calon DAP
Lee Lam Thye manakala pada pilihan raya umum 2008 Yap tidak terpilih
sebagai calon. Serdang dinaikkan taraf sebagai kerusi parlimen pada
1995.
“Selepas kekalahan pada 2008 yang
menyaksikan kerusi MCA hampir disapu bersih oleh lawan terutama di
Selangor, saya beritahu diri sendiri bahawa saya ada dua pilihan iaitu
menyerah kalah atau terus bekerja,” katanya.
Walaupun tidak dicalonkan pada pilihan
raya itu, beliau dengan pantas menghimpunkan semula pekerjanya dan
kembali turun ke akar umbi.
“Saya segera membantu dan pusat khidmat
saya menjadi pusat yang menghubungkan MCA dan komuniti. Kami tidak
pernah meminggirkan penduduk setempat.
“Sejak 2008 hingga sekarang, saya telah
mengadakan lebih 500 pertemuan dengan kumpulan kecil membabitkan
pelbagai segmen masyarakat,” kata Ketua Publisiti BN Selangor itu.
Yap yang menganggap dirinya sebagai anak
jati Serdang kerana tinggal di situ sepanjang hayatnya, adalah muka
yang biasa dilihat dalam kalangan penduduk.
“Kami dapat berjumpa beliau dengan mudah
dan beritahu beliau masalah kami. Beliau seorang daripada penduduk di
sini dan masih menolong kami walaupun tidak bertanding pada pilihan raya
umum lepas,” kata peniaga mi di Jalan Besar yang mahu dikenali sebagai
Chin, 67.
Chin boleh dilihat mewakili cara hidup
penduduk di kawasan Serdang yang rata-rata berniaga secara kecil-kecilan
atau menguruskan perniagaan keluarga yang dijalankan secara
tradisional.
Seorang wakil rakyat bukan sahaja perlu sentiasa ada tetapi juga menjengah mereka.
Retorik dan janji manis tidak diperlukan.
“Kami mahu orang tempatan kerana
praktikal dan senang. Jika orang luar, dia tidak akan sentiasa ada di
sini, jadi tidak ada gunanya. Bagaimana dan di mana kami boleh cari dia
jika kami ada masalah yang perlu diselesaikan,” kata Chin.
Kerusi Parlimen Serdang mempunyai 133,265 pengundi dengan 48.6 peratus berketurunan Cina.
Pengundi Melayu mencakupi 39.6 peratus manakala India 11 peratus dan bakinya kaum-kaum lain.
Pada 2008, calon DAP Teo Nie Ching mengatasi calon BN, Hoh Hee Lee daripada MCA dengan kelebihan 21,025 undi. – BERNAMA

0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !